KUALA LUMPUR, 15 Dis - Rakyat Malaysia, terutama dari kaum Melayu perlu mempelajari bahasa Mandarin memandangkan ia kini menjadi bahasa yang cukup penting apabila China muncul sebagai salah satu kuasa besar dalam ekonomi dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata dengan mempelajari satu lagi bahasa, ia akan membolehkan seseorang itu memahami dengan lebih jelas mengenai orang lain yang mempunyai latar belakang yang berbeza, sekaligus membolehkan mereka lebih menghormati antara satu sama lain.
"Hanya apabila kita menghormati antara satu sama lain, baru kita boleh jadi rakyat Malaysia yang sebenar," katanya semasa berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini Isnin malam.
Katanya dengan mempelajari bahasa Mandarin, lain-lain kaum, terutama kaum Melayu, akan dapat memahami kaum Cina dengan lebih baik.
"Mungkin sudah lewat bagi saya untuk mempelajari bahasa Mandarin, tapi saya berharap untuk melihat lebih ramai kaum Melayu mempelajari bahasa ini di masa hadapan," katanya.
Najib berkata anak bongsunya, Norashman Razak, yang ketika ini sedang belajar di Universiti Georgetown, Amerika, juga mengambil kursus bahasa Mandarin dan menambah bahawa anaknya itu nanti hanya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dalam masa empat tahun lagi.
"Mungkin satu hari nanti saya boleh jemput dia untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin," katanya.
Menyentuh mengenai kedudukan sekolah persendirian Cina dalam negara, Perdana Menteri berkata peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 yang digubal semasa beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan memberi jaminan kepada pendidikan dan perkembangan sekolah-sekolah Cina di Malaysia.
"Sekolah-sekolah persendirian Cina tidak perlu bimbang dan khuatir kerana kewujudan sekolah ini terjamin oleh kerajaan melalui Akta Pendidikan 1996," kata Najib.
Beliau berkata dasar liberal kerajaan terhadap pendidikan sejak kemerdekaan juga menjadi faktor utama perkembangan sekolah-sekolah persendirian Cina dalam negara, yang mana Malaysia kini menjadi sebuah negara di rantau ini yang mempunyai banyak Sekolah Cina dan ramai rakyatnya berpendidikan Cina.
Najib berkata kewujudan dan perkembangan sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantaraan juga menjadi satu kekuatan dan kepelbagaian di Malaysia.
"Ini menunjukkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa bersikap liberal dalam pertimbangan dasar-dasar yang kita tetapkan, sehingga di rantau Asia Tenggara dan di luar China, Malaysia merupakan negara yang memiliki bilangan berpendidikan Cina yang paling ramai sekali," katanya.
Katanya walaupun isu pendidikan sama ada hanya perlu satu aliran atau berbagai aliran sering menjadi persoalan, namun katanya beliau percaya kewujudan pelbagai aliran adalah baik kerana ia dapat melahirkan masyarakat yang berkepelbagaian, yang mana ia merupakan satu kekuatan dan aset kepada negara.
Mengulas kejayaan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Najib berkata kenyataan bahawa ibu bapa kaum Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah itu menunjukkan bahawa komuniti tersebut komited dan meletakkan keutamaan paling tinggi terhadap pendidikan.
Perdana Menteri berkata sehingga kini terdapat 60 sekolah-sekolah persendirian China dalam negara.
- BERNAMA